BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 28 November 2011

PALESTIN - Ancaman Israel Buktikan Kebenaran Pejua...

Ketua biro politik Hamas, Khalid Misyal, Jumaat lalu (25/11) mengatakan bahawa ancaman yang dikeluarkan oleh pemerintah Zionis setelah pengumuman kesepakatan antara Hamas dan Fatah membuktikan bahawa rekonsiliasi adalah jalan yang benar bagi rakyat Palestin. Misyal menambahkan, menurut pejabat berita Safa, bahawa ancaman yang dibuat oleh pemerintah Netanyahu dan mengadakan pertemuan untuk kabinet keamanan "tidak akan dapat menakut-nakuti kita, tetapi membuktikan kepada kita dan meyakinkan kita bahawa kita berada di jalan yang benar, jalan rekonsiliasi. Rakyat Palestin tidak takut apapun terhadap kepentingan mereka. Dan kenapa kita mesti takut? Musuh Israel melakukan represi setiap hari kepada semua rakyat Palestin." Misyal mengatakan akan ada pertemuan lain pada 22 Disember mendatang untuk komite peduli restrukturisasi Organisasi Pembebasan Palestin dan membahas pilihan raya akan datang, menambahkan bahawa terlalu awal untuk mengatakan apakah Hamas akan memberikan calon untuk pemilihan presiden. Ia juga mengatakan bahawa setelah pertemuan dengan Abbas dia memerintahkan pemimpin Hamas di Palestin dan di pengasingan untuk mengikuti wacana yang tidak merosak suasana rekonsiliasi.(fq/pic)

Isnin, 21 November 2011

Untunglah jualan (kamu) wahai Abu Yahya... Untunglah jualan (kamu) [Muhammad Rasulullah s.a.w]

Shuhaib ar-Rumi mempunyai muka yang putih bersih dan berseri-seri. Rambutnya pula kemerah-merahan. Beliau juga sangat cergas. Kecerdikan dan kebijaksanaan terpancar daripada kedua matanya. Ayahnya adalah seorang Raja. Pada suatu hari, Ummu Shuhaib bersama anak kecilnya ini pergi ke sebuah kampun bernama ats-Tsaniyyi, di Iraq. Mereka ke sana untuk berehat dan makan angin. Pemergian tersebut turut diiringi oleh para pengikut dan hamba mereka. Tiba-tiba kampung itu diserang oleh satu pasukan tentera Rom. Mereka membunuh para pengawal, merampas harta dan menawan wanita dan kanak-kanak. Dan antara yang ditawan ialah Shuhaib. Shuhaib dijual beberapa kali di pasar hamba di negara Rom. Tangan mereka yang memiliki beliau silih berganti. Beliau berkhidmat daripada satu tuan kepada tuan yang lain. Keadaan beliau samalah dengan nasib ribuan hamba lain yang memenuhi istana-istana Rom. Keadaan itu memberi peluang kepada Shuhaib untuk menembusi ke dasar masyarakat Rom. Justeru itu, beliau dapat melihat dari dalam apa yang berlaku. Beliau melihat kejahatan dan kejelikan yang bersarang di istana-istana Rom dengan kedua matanya. Kedua telinganya pula mendengar sendiri tentang kezaliman dan dosa yang berleluasa di negara tersebut. Lantaran itu, beliau merasa benci dan memandang hina masyarakat ini. Shuhaib telah membesar di negara Rom. Beliau menjalani kehidupan remajanya di tengah-tengah masyarakat di negara tersebut. Beliau juga telah melupai atau hampir melupai bahasa Arab. Sekalipun begitu, tidak pernah lenyap dalam kotak fikirannya bahawa beliau adalah berketurunan Arab yang menghuni padang pasir. Keinginannya yang membuak-buak tidak pernah luntur walaupun sedetik untuk bebas daripada perhambaan dan kembali ke pangkuan kaumnya. Kerinduan untuk kembali ke tanah Arab semakin bertambah, apabila beliau mendengar seorang pendeta Nasrani berkata kepada salah seorang pemimpinnya: "Sudah hampir masa seorang Nabi akan keluar dari Mekah di tanah Arab. Baginda akan membenarkan risalah 'Isa bin Maryam dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kufur kepada cahaya keimanan." Pada suatu hari, Shuhaib telah mendapat peluang untuk melarikan diri daripada perhambaan. Beliau menuju ke Mekah yang menjadi ibu kota dan destinasi bangsa Arab mendapatkan perlindungan serta tempat pengutusan Nabi yang ditunggu-tunggu. Di Mekah, Shuhaib mengikat janji setia dengan salah seorang pembesar Mekah yang bernama 'Abdullah bin Jud'an. Shuhaib juga mula menceburi bidang perniagaan. Hasilnya beliau mendapat kesenangan dan harta yang banyak. Pada suatu hari, Shuhaib kembali ke Mekah dari perjalanan menguruskan perniagaannya. Tiba-tiba beliau diberitahu, Muhammad bin 'Abdullah telah diutuskan menjadi seorang Rasul. Baginda mengajak manusia supaya beriman kepada Allah s.w.t. Baginda juga menggalakkan mereka supaya melakukan keadilan dan kebaikan, serta mencegah mereka daripada kejahatan dan kemungkaran. Shuhaib bertanya: "Bukankah Muhammad diberi gelaran al-Amin ?." Lelaki itu menjawab: "Ya" Shuhaib bertanya lagi: "Dimanakah beliau ?." Beliau tidak sabar lagi untuk menemui Muhammad. Lelaki itu menjawab: "Rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam di Shofa. Tetapi awas daripada ternampak oleh orang Quraisy. Jika mereka melihat kamu, mereka akan bertindak kasar. Mereka pasti melakukannya. Kamu seorang dagang dan tiada keluarga, sokongan atau kabilah untuk melindungi dan menolong kamu." Sambung lelaki itu memberi amaran. Tanpa banyak bicara lagi Shuhaib bin Sinan ar-Rumi terus menuju ke rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam untuk menemui Rasulullah s.a.w. Beliau mendengar ajaran yang diperkatakan Baginda. Cahaya keimanan mula terpancar di dalam dada Shuhaib. Dengan penuh yakin, Shuhaib mengucapkan kalimah syahadah. Sepanjang hari itu Shuhaib menghabiskan masa bersama Rasulullah s.a.w. Beliau khusyu' memperolehi hidayah serta gembira menikmati persahabatan bersama Baginda. Apabila malam menjelma dan segala pergerakan telah tenang, barulah beliau keluar meninggalkan Rasulullah s.a.w dengan berselindung di bawah kegelapan malam. Shuhaib terpaksa menanggung siksaan yang dikenakan oleh kaum Quraisy. Beliau menerima seksaan yang amat dahsyat. Andainya siksaan itu dikenakan ke atas bukit sekalipun, nescaya ia akan meranapkannya. Namun beliau menjalani semua itu dengan hati penuh ketenangan dan kesabaran. Ini kerana beliau sedar, jalan syurga dihampari dengan perkara yang tidak disukai. Nabi s.a.w membenarkan para sahabatnya berhijrah ke Madinah Shuhaib berazam untuk menemani Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar berhijrah. Namun orang Quraisy menyedari keazaman beliau, lantas mereka menghalangnya. Mereka melantik pemerhati untuk mengawasi gerak-geri Shuhaib agar beliau tidak terlepas daripada genggaman mereka dengan membawa hasil perniagaannya yang berupa emas da perak. Setelah Rasul dan sahabatnya, Abu Bakr berhijrah, Shuhaib sentiasa mengintai-intai peluang untuk keluar menyertai mereka berdua. Tetapi beliau tidak berjaya. Pada satu malam yang sejuk, Shuhaib sengaja kerap kali ke tandas. Seolah-olah beliau membuang air besar. Setiap kali keluar dari tandas, beliau akan bergegas memasukinya semula. Sehingga sebahagian pengintip berkata kepada rakannya: "Kamu berehatlah, usah bimbang sesungguhnya al-Lata dan al-'Uzza telah menyibukkan si Shuhaib dengan karenah perutnya." Merekapun membaringkan diri lalu tidur. Melihatkan keadaan demikian, Shuhaib dengan senyap-senyap segera melarikan diri menuju ke Madinah. Tidak beberapa lama kemudian, para pengintip mula menyedari kehilangannya. Mereka segera bangkit dari tidur dan memecut kuda-kuda tunggangan mereka. Mereka memacu dengan laju sehinggalah berjaya menemui Shuhaib. Apabila Shuhaib merasai kedatangan mereka, beliau berdiri di satu tempat yang tinggi sambil mengeluarkan anak panah dari bekasnya. Beliau menarik tali panahnya seraya mengancam: "Wahai sekalian Quraisy, demi Allah kamu telah tahu, aku adalah di antara orang yang paling pandai memanah dan paling tepat panahannya.. Demi Allah, kamu tidak akan sampai kepadaku sehinggalah kesemua anak panah ini habis. Setiap batang anak panah ini pasti membunuh seorang daripada kamu. Setelah itu aku akan memerangi kamu dengan pedang yang ada di tanganku ini". Wajah Shuhaib serius menggambarkan kesungguhan ancamannya. Namun salah seorang daripada mereka yang memburunya berkata: "Demi Allah, kami tidak akan membenarkan kamu menewaskan kami dengan membawa diri dan harta kamu. Kamu telah datang ke Mekah dalam keadaan lemah dan fakir, kemudian kamu memperolehi kekayaan dan semua yang kamu kecapi ini." Suhaib berkata kembali: "Jika aku meninggalkan hartaku kepada kamu, adakah kamu akan melepaskanku ?." "Ya." Jawab mereka. Mendengar persetujuan itu, Shuhaib pun menceritakan tempat letak harta di dalam rumah beliau di Mekah. Mereka segera pergi ke rumahnya dan mengambil harta tersebut. Shuhaib pun terus bergegas dan mempercepatkan langkahnya menuju ke Madinah. Beliau lari membawa agamanya demi kerana Allah s.w.t Beliau tidak menyesal sedikitpun di atas kehilangan harta yang diusahakan sepanjang hidupnya itu. Apabila sampai di Quba’, Nabi s.a.w ternampak beliau dalam perjalanan. Baginda begitu gembira dan mengalu-alukannya. Baginda bersabda: “Untunglah jualan, wahai Abu Yahya. Untunglah jualan. “. Baginda mengulangnya sebanyak tiga kali. Kegembiraan terpancar di wajah Shuhaib. Beliau tidak menyangka kejadian yang menimpanya telah diketahui Rasulullah. Beliau berkata: “Demi Allah !. Tiada seorang yang mendahuluiku menemui tuan, wahai Rasulullah. Tiada siapa yang memberitahu tuan mengenainya melainkan Jibril.”